‘Singkir, Bunuh Rohingya Dasar Myanmar’

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwa raya dalam tribunal rakyat mengenai Rohingya menegaskan, jenayah kemanusiaan yang berlaku terhadap Rohingya, Kachin dan etnik minoriti lain di Myanmar adalah genosid dan bukan sekadar pembersihan etnik.

Presiden Genocide Watch, Dr Gregory Stanton, yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) berkata, istilah genosid (pembunuhan besar-besaran) adalah lebih kukuh berbanding penghapusan etnik.

Bagaimanapun, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sengaja enggan menggunakan perkataan itu.

Katanya, penghapusan etnik adalah eufemisme kepada pengusiran, selain istilah itu juga tidak digunakan oleh Perjanjian Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), sekali gus membuatkan ia tidak terikat dengan sebarang perundangan antarabangsa.

“Pada tahun 2007, saya dan tiga ahli epidemiologi mengkaji kesan penggunaan penghalusan etnik berbanding genosid bagi empat kejadian genosid iaitu di Rwanda, Bosnia, Kosovo dan Darfur.

“Kami mendapati penggunaan istilah itu langsung tidak berkaitan dengan jumlah orang yang terbunuh.

“Seramai 8,000 terbunuh di Srebrenica disahkan sebagai genosid oleh ICTY (International Criminal Tribunal for Yugoslavia).

“Namun, Suruhanjaya Siasatan PBB pula menyifatkan 100,000 yang terbunuh di Darfur sebagai tiada bukti untuk mengaitkan kerajaan Sudan melakukan genosid.

“Sebenarnya, penggunaan istilah terbabit adalah berdasarkan kesanggupan untuk bertindak. Penghapusan etnik atau jenayah kemanusiaan hanya apabila mereka memutuskan untuk tidak mengambil tindakan.

“Istilah genosid pula digunakan apabila kerajaan dunia bersedia untuk bertindak dan campur tangan menghentikan pembunuhan, namun pada ketika itu segala-galanya sudah terlambat,” katanya pada PPT, di sini, hari ini.

Stanton adalah antara pakar yang dipanggil sebagai saksi bagi pihak pendakwa raya, yang mendakwa kerajaan Myanmar melakukan jenayah kemanusiaan terhadap Rohinya, Kachin dan Muslim Myanmar.

Dalam pada itu, Stanton turut mendakwa pihaknya memiliki satu dokumen yang mengandungi dasar kerajaan Myanmar terhadap Rohingya, yang menurutnya ‘dibocorkan orang dalam’.

“Dasar mereka terhadap Rohingya (berdasarkan dokumen itu) ialah singkir dan bunuh,” katanya.

Beliau turut menggesa negara ASEAN untuk bertindak dalam isu di Myanmar, seperti mana mereka bertindak ketika isu di Timor Leste.

Beliau juga mahu kerajaan Myanmar melaksanakan saranan laporan Suruhanjaya Penasihat Mengenai Rakhine, diketuai bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, khususnya memberikan semula warganegara pada Rohingya, Kachin dan etnik lain.

Stanton turut bersetuju dengan tindakan berbentuk sekatan dan mengambil contoh kejayaan beberapa sekatan terhadap kerajaan junta Myanmar sebelum ini, yang mendorong pembebasan Aung San Suu Kyi serta pilihan raya negara terbabit. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.