Taman Tasik Datuk Keramat ‘Port’ Penagih

KUALA LUMPUR: Taman Tasik Datuk Keramat yang menjadi lokasi riadah penduduk sekitar Jalan Keramat Hujung didakwa sebagai tumpuan penagih dadah pada sebelah malam.

Biarpun taman riadah itu dikawal 24 jam oleh pengawal keselamatan, namum didakwa sering diceroboh sekumpulan lelaki untuk melepas gian.

Pengawal keselamatan, Hamat Yani Rahidin,45, yang bertugas di situ berkata, kumpulan penagih menceroboh masuk ke kawasan itu melalui beberapa laluan tertentu.

“Taman tasik ini mempunyai lebih lapan laluan masuk yang memudahkan mereka menyelinap masuk, terutamanya pada waktu malam,

“Keadaan kawasan yang gelap dan sunyi membolehkan mereka melakukan kegiatan tidak bermoral tanpa pengetahuan orang awam,

“Sejak bertugas di sini, memang ramai individu menceroboh masuk untuk melepas gian. Malah, ada antara mereka remaja bawah umur.” katanya ketika ditemui, di sini.

Tasik berkenaan terletak di belakang premis sementara Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi Khamis lalu.

Hamat yang bertugas di situ sejak tujuh bulan lalu berkata, dia pernah terserempak dengan beberapa remaja yang melepak dan menegur mereka kerana merokok.

“Namun, selepas ditegur mereka melawan dengan mengeluarkan kata-kata sindiran,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.