Aaron Terkenang Anak tahfiz

KUALA LUMPUR: Tragedi menimpa guru dan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah memberi kesan kepada aktor kelahiran Singapura, Aaron Aziz sehingga mengambil inisiatif membantu mangsa dan keluarga mereka.

Aaron memberitahu, pelajar tahfiz terbabit pernah dua kali menyertai acara yang dianjurkannya termasuk program amal yang dikendalikan kelab peminat, Aaronators FC.

“Kali pertama mereka diundang membacakan doa selamat pada pembukaan kafe Kidz & Creme yang saya usahakan.

“Mereka juga menjayakan projek membantu mangsa banjir di Pahang yang dikendalikan kelab peminat saya.

“Selepas berlakunya tragedi menyayat hati, inilah bahagian kami untuk membantu mereka mengikut apa yang terdaya,” katanya kepada BH Online.

Aaron berkata, Aaronators FC berjaya mengutip RM8,260 untuk disumbangkan kepada pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Menurutnya, kempen #ProjekDermaKilatAaronatorsfc mengumpul sumbangan daripada peminat Malaysia dan Singapura dalam tempoh beberapa hari.

“Semoga usaha kami ini akan diterima Allah dan akan menjadi saham buat kita di akhirat.

“Terima kasih kepada Aaronators FC dan isteri, Diyana Halik. Semoga ustaz dan anak-anak Darul Quran Ittifaqiyah akan terus tabah dengan dugaan ini dan sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Aaron yang memenangi trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak dua kali berkata, Aaronators sering menganjurkan program amal membantu golongan memerlukan.

“Ini umpama tradisi saya dan kelab peminat. Dalam kita bersuka ria, pasti ada yang berduka. Jika diikutkan, program seumpama ini sudah sering dianjurkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aaron memberitahu, dia sedang berehat selepas membintangi drama My Darling Inspektor Daniel.

“Bulan depan, insya-Allah saya akan membintangi drama terbitan Global Station yang belum berjudul. Heroinnya pun saya tak tahu lagi,” katanya yang menanti filem kedua arahannya, Sayu Yang Syukur.

Sebelum ini, Aaron mengarahkan filem Romeo Kota. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.