Para KL2017: Eddy Rangkul Emas Kedua

KUALA LUMPUR: Selepas merangkul pingat emas menerusi acara 100 meter (m) semalam, Eddy Bernard sekali lagi cemerlang apabila meraih pingat emas kedua, menerusi acara lompat jauh T37, Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017), di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Lebih manis, atlet berusia 16 tahun itu juga berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam acara lompat jauh T37, selepas melakukan lompatan sejauh 5.76 m berbanding sebelumnya hanya 5.71 m.

Pingat perak dimenangi atlet Vietnam, Truong Tan Hien yang merekodkan lompatan sejauh 5.47 m, manakala gangsa milik rakan senegaranya, Nguyen Hu Thinh (4.48 m).

“Ini adalah pencapaian yang begitu baik dan saya mahu menghadiahkan kedua-dua pingat emas kepada keluarga dan jurulatih yang banyak membantu sehingga berjaya di temasya ini,” katanya.

Mengulas mengenai persembahannya sebentar tadi, atlet berasal dari Beluran, Sabah itu berkata, beliau tidak begitu gemuruh ketika beraksi kerana hanya empat peserta menyertai acara berkenaan.

“Rahsia utama kejayaan hari ini ialah, saya terapkan di dalam minda, bahawa saya hanya sedang berlatih seperti biasa bersama rakan sepasukan lain.

“Hasilnya, saya gembira kerana dapat mencatatkan lompatan sejauh 5.76 m dan memecahkan rekod peribadi pada percubaan ketiga, berbanding rekod terdahulu 5.71m,” katanya.

Kini, atlet olahraga para negara ini mula memasang impian lebih besar untuk beraksi di temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Eddy menegaskan, dia tidak akan berhenti berlatih untuk memastikan dirinya layak ke Sukan Para Asia pada tahun depan dan Paralimpik Tokyo yang masih berbaki kurang tiga tahun lagi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.