Pelajar IPT Dituduh Bunuh Bayi

KANGAR: Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas tuduhan membunuh dengan membuang bayi perempuan yang baharu dilahirkannya, pada 1 September lalu.

Tertuduh, Nur Azian Khalid, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan kaki Bukit, di sini, jam 6.35 pagi pada hari kejadian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari bandar ini.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan 14 Disember ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Lokman Hakim.

BH sebelum ini melaporkan, mayat bayi perempuan ditemui disumbat dalam tangki tandas sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, di sini, pada 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintedan Wari Kiew, berkata bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan itu ditemui pekerja stesen minyak berkenaan jam 6.35 pagi.

Suspek yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan bagaimanapun ditahan di sebuah rumah di Beseri, di sini, pada jam 2 petang kira-kira tujuh jam selepas kejadian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.