Tragedi Tahfiz: Seorang Lagi Pelajar Dibenar Pulang

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kebakaran pusat itu Khamis lepas dibenarkan pulang pada Isnin malam.

Adib Baqir, 15, yang mengalami kecederaan di bahagian tangan, siku dan badan telah dibenarkan pulang oleh pihak hospital kira-kira 9.30 malam.

Ibu mangsa, Wahida Ramli, 49, berkata Adib kini semakin pulih namun masih teringat kejadian kebakaran pada awal pagi itu.

“Dia (Adib) semakin stabil cuma doktor minta banyakkan berehat,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap HKL ketika dihubungi Bernama mengesahkan yang Adib telah dibenarkan pulang dan ketika ini hanya tiga mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital itu.

Pada Ahad, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dilaporkan berkata, tiga mangsa dibenarkan pulang pada Sabtu selepas keadaan mereka stabil.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.

Sabtu lepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.