FELDA Nafi Tidak Bayar Insentif Khas RM5,000

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menafikan dakwaan tidak membayar insentif khas FELDA RM5,000 yang diberikan kepada para peneroka seperti yang dilaporkan satu portal media.

Portal tersebut menemu bual anak peneroka di Felda Jengka 10 dan peneroka Felda Jengka 12 baru-baru ini yang menyatakan FELDA masih tidak membayar insentif seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Julai 2017.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, peneroka-peneroka yang layak telah menerima bayaran insentif RM5,000 tersebut setakat 19 September 2017.

“Bagi Felda Jengka 10, 355 daripada 370 peneroka yang layak penuh telah pun menerima bayaran manakala bagi Jengka 12 pula seramai 274 daripada 342 yang layak penuh telah menerima bayaran insentif tersebut.

“Peneroka yang layak penuh atau peneroka yang bersama FELDA adalah peneroka yang kebunnya diuruskan sepenuhnya oleh FELDA dan juga peneroka yang menghantar hasil berterusan ke FELDA (bagi tempoh Januari — Jun 2017).

“Di seluruh Malaysia pula, seramai 79,093 peneroka telah menerima insentif khas berjumlah RM5,000 seorang secara berperingkat iaitu pada 30 Ogos dan 19 September 2017,” kata Shahrir.

Pembayaran insentif tersebut dibuat menerusi akaun pesendirian peneroka yang telah dikemas kini manakala bayaran secara tunai pada penghujung September diberikan kepada peneroka yang mempunyai masalah teknikal.

Bagi peneroka yang tidak mengemas kini akaun bank pula akan menerima cek pada bulan Oktober 2017.

Selain itu, FELDA turut membuat semakan peneroka dari Jengka 12 itu tidak menghantar hasil dari Januari hingga Jun 2017 menyebabkan dirinya tidak layak untuk menerima insentif ini.

Namun, beliau telah menandatangani surat akuan untuk kembali bermuafakat bersama FELDA dan sekiranya peneroka tersebut komited menghantar hasil selama enam bulan berturut-turut, insentif RM5,000 akan diperolehi bermula Februari 2018.

Seorang lagi, ibu kepada anak peneroka yang ditemu bual berasal dari Jengka 10 telah menerima bayaran insentif tersebut pada hari semalam.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.