Jangan Gentar Beri Maklumat – SPRM

JOHOR BAHRU: Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa semakin meningkat susulan pertambahan jumlah pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata pihaknya berharap lebih ramai pihak atau individu yang tampil berhubung maklumat kes rasuah.

“Mana-mana rakyat Malaysia yang mahu membanteras gejala rasuah, jangan gentar dan jangan takut. Sampaikan maklumat berkenaan kepada SPRM.

“Langkah berkenaan boleh dibuat melalui dua cara, sama ada dengan membuat aduan secara terus atau secara tertutup tanpa mendedahkan identiti.

“Kalau seluruh rakyat Malaysia mengambil pendirian membanteras rasuah, tiadalah yang nak beri (rasuah) dan tiada siapa yang dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Program Kembara Jelajah Antirasuah Konvoi Kejar 2017 di Ma’had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata, masyarakat diminta tidak memandang sinis terhadap usaha anggota SPRM yang setiap hari bertungkus-lumus menjalankan tugas memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Meskipun dengan kekuatan hanya 2,100 anggota, SPRM secara agresif menjalankan siasatan dan pendakwaan hampir setiap minggu.

“Bagaimanapun, kita sedia terima kritikan bagi menambah baik perkhidmatan, sekali gus membantu memerangi gejala rasuah di negara ini,” katanya.

Terdahulu, program kembara 13 hari itu disertai 43 motosikal berkuasa besar berkonvoi sejauh 2,000 kilometer ke seluruh Semenanjung bermula di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Program berkenaan adalah bagi menyampaikan mesej antirasuah kepada rakyat dan beramah mesra sempena ulang tahun SPRM ke-50 pada 1 Oktober ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.