Penahanan Pelajar Malaysia Di Mesir, Kedutaan Digesa Main Peranan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) meminta pihak Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan memberi perhatian serius serta membantu menyelesaikan isu penahanan beberapa pelajar Malaysia di negara itu.

Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre, berkata pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa Mesir berikutan masalah berkaitan visa.

“Tindakan segera perlu diambil kerana ia membabitkan isu keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan.

“ILMAM dimaklumkan pelajar terbabit menuntut di Pusat Kursus Bahasa Arab di Kaherah.

“Pelajar yang baru tiba ke Mesir mendapat visa tiga bulan daripada Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, visa berkenaan akan tamat tempoh dan peluang memperbaharuinya amat sukar kerana pelajar belum mendapatkan pengesahan pengajian (tasdiq) daripada institusi pengajian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Abdul Kadir berkata, masalah berkenaan dirumitkan apabila pegawai tempatan yang dilantik untuk menguruskan pembaharuan visa dikatakan menahan pasport pelajar.

“Pasport milik pelajar ini ditahan melebihi sebulan untuk diproses, mengakibatkan sebahagian pelajar Malaysia bukan hanya tidak memiliki visa bahkan juga pasport mereka.

“Kita dimaklumkan pihak berkuasa Mesir tidak lagi mengakui surat sokongan yang dikeluarkan oleh kedutaan kepada pelajar yang belum memperoleh visa,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.