Ella Tuju Peace.Love.Rindu Untuk Suami

KUALA LUMPUR: Lagu Peace.Love.Rindu ciptaan Lord yang dimuatkan dalam album baharu ratu rock, Ella, memberi makna tersendiri buat penyanyi wanita terbabit.

Menurut pemilik nama penuh Norzila Aminuddin ini, lagu berentak perlahan hasil ilham bekas rakan sekumpulan dalam Ella & The Boys itu bukan saja dipilih menjadi judul album, sebaliknya turut ditujukan khas buat suami tercinta, Azhar Ghazali.

“Untuk dirinya, Ella rasa akan bagi Peace.Love.Rindu sebab ada sejarah di sebalik lagu itu. Semua luahan rasa ada dalam lagu terbabit dan ia karya yang menyentuh banyak perkara.

“Tetapi ia tiada kena-mengena dengan soal bergaduh dan berbaik semula. Selebihnya, Ella tak nak komen,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran album solo terbarunya itu di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Mengulas pembikinan album solo pertamanya dalam masa 10 tahun itu, Ella berkata, kesibukan dirinya membuatkan projek penghasilan Peace.Love.Rindu turut tertangguh.

“Dalam tempoh 10 tahun itu, Ella banyak fokus pada keluarga dan juga kerjaya. Kalau mahu menumpukan pada kerjaya saja, susah juga.

“Dari segi proses pembikinan saja, kami mengambil masa selama dua tahun kerana mahu mencari lagu yang bukan saja sesuai dengan kemampuan Ella dan cita rasa masa kini, tetapi perlu juga selari dengan imej terkini,” kata penyanyi berusia 51 tahun ini yang muncul dengan album solo berjudul Rama Rama, sedekad lalu.

Album yang memuatkan lapan lagu terbabit turut mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik handalan tanah air seperti Datuk M Nasir, Edrie Hashim, Omar K, Ezra Kong, AG Coco, Sam Bunkface, Keon, Buddhi Hikayat dan Ad Samad.

Peace.Love.Rindu akan berada di pasaran mulai 25 September ini dan peminat juga boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi Lazada dan XOX. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.