Para KL2017: Maafkan Saya Ridzuan Puzi

KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf Ridzuan Puzi, ini saja yang dapat saya sumbangkan,” kata Raduan Emeari yang meraih pingat perak acara 400 meter lelaki T36 (cerebral parsy) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Tanggungjawab yang digalas Raduan begitu berat sekali hari ini selepas dimaklumkan rakan senegaranya itu tidak dapat meneruskan aksi di Para KL2017 kali ini akibat demam denggi.

“Saya tetap berbangga walaupun memperoleh tempat kedua (catatan masa 64.20s)

“Ketiadaan Ridzuan membuatkan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kedudukan terbaik, kerana sepatutnya dia mengambil bahagian dalam acara ini dan saya akan memberi sokongan dari belakang,” katanya, hari ini.

Raduan yang berusia 35 tahun mengakui sudah menggalas tugas sebaik mungkin dan berusaha, namun terpaksa akur dengan kehebatan atlet Indonesia, Agung Laksana yang meraih emas dengan catatan masa 61.11 s

“Ini penampilan kelapan saya di Para ASEAN, namun dua perak yang diraih termasuk 100 m semalam tetap membanggakan berbanding hanya tiga gangsa dua tahun lalu di Singapura,” kata atlet kelahiran Kuala Selangor itu.

Dia yang meraih lima emas di Manila (2005) dan Korat (2007) menghadiahkan pingat perak kepada kedua ibu bapanya, isteri, keluarga dan semua jurulatih.

“Berat juga tanggungjawab yang dipikul ini kerana kita sentiasa mahu menghadiahkan pingat emas buat Malaysia, namun ini saja yang dapat saya sumbangkan.

“Kami berjanji jika ada peluang untuk beraksi di Manila selepas ini, kami akan merampas semula emas dalam kedua-dua acara yang dimenangi Indonesia,” katanya.

Pingat gangsa dalam acara itu diraih seorang lagi pelari negara, Reza Rasihid dengan catatan masa 71.70s, manakala atlet kelahiran Perlis, Alif Malek menduduki tempat keempat, selepas mencatat 77.69s. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.