Pasukan Perlu Bijak Urus Kewangan

KUALA LUMPUR: Setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu bijak menguruskan kewangan pasukan masing-masing sebelum membuat keputusan mengambil pemain import kelima dari Asia Tenggara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, pengambilan pemain import kelima sudah pasti akan menambah bebanan kewangan kepada pasukan khususnya yang memiliki bajet terhad.

“Pengambilan pemain import sudah pasti menelan belanja yang besar dan dikhuatiri pasukan kecil akan berdepan masalah untuk memenuhi polisi apabila berdepan kekangan untuk melunaskan gaji pemain.

“Pasukan juga perlu meneliti kualiti pemain import yang diingini bagi mengelak membawa masuk pemain yang tidak berkualiti dan memiliki rekod kecederaan lampau.

“Inilah senario yang kita tidak mahu lihat jika polisi ini dilaksanakan pada musim depan. Kuncinya terletak pada perancangan pengurusan yang perlu menilai apa yang patut dan tidak mereka lakukan,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan menambah satu lagi kuota untuk pemain import Asia Tenggara berbanding peraturan ketika ini membenarkan empat import termasuk satu dari Asia.

Ketika sesi sidang media di Johor Bahru kelmarin, Tunku Ismail menegaskan pemain dari Asia Tenggara itu harus beraksi untuk skuad kebangsaan mereka, dengan penampilan sekurang-kurang 30 perlawanan peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Sadek mengakui kemasukan import kelima itu mampu memperkasa pasukan yang mengharungi cabaran di peringkat benua Asia khususnya saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) serta Piala AFC.

“Kebanyakan pasukan lain di benua ini turut menggunakan banyak pemain import jadi sudah pasti pengenalan lima pemain import ini akan membantu pasukan yang bertanding untuk memberi cabaran kepada pasukan lain.

“Selain itu, pengambilan pemain import yang memiliki reputasi di Asia Tenggara turut membantu penajaan untuk masuk dan mampu ‘menjual’ nama pasukan di peringkat lebih tinggi seperti yang dilakukan Liga Indonesia dan juga Liga Thailand,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.