Pembangunan Pesat Felda Hulu Selangor Beri Manfaat Kepada Warganya

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini sudah jauh berubah baik dari segi pembangunan landskap, taraf hidup hinggalah kejayaan demi kejayaan yang diraih warganya.

Pendek kata apabila disebut sahaja Felda, masyarakat tidak lagi semata-mata membayangkan ladang kelapa sawit dan tanah rancangan, malah lebih daripada itu.

Antaranya Felda di Selangor yang terletak di bawah pentadbiran Felda Wilayah Trolak.

Terdiri daripada empat buah tanah rancangan; Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi Selatan dan Felda Soeharto atau dahulunya dikenali sebagai Felda Sungai Dusun, setiap darinya mempunyai kelebihan tersendiri bahkan turut mencatat pencapaian membanggakan.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) yang juga Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail dan Pengarah Seranta Felda Datuk Mohamad Khairudin Mohamad sebagai contoh adalah antara nama besar yang lahir dari Felda Gedangsa dan Felda Soeharto.

AKTIVITI EKONOMI, SUKAN

Pengurus Besar Wilayah Trolak Muhamad Haidir Moin berkata semangat kerjasama yang tinggi ibarat sebuah keluarga menjadi penyumbang utama dalam memastikan Felda di Selangor berkembang maju dalam pelbagai lapangan terutama melibatkan aspek pembangunan ekonomi, sukan dan kemakmuran di tanah rancangan.

“Penglibatan pemimpin setempat, warga peneroka dan generasi Felda khususnya membawa kepada semangat kebersatuan yang menjadi resepi kejayaan kepada Felda di Hulu Selangor.

“Organisasi kepimpinan Felda sebagai contoh pengurus, penolong pengurus, kerani dan penyelia ladang dan petugas sosial yang menjaga isu berkaitan komuniti dan kerohanian memain peranan penting selain beberapa badan lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang terdiri daripada ketua peneroka dan exco yang banyak membuat dasar untuk sesebuah tanah rancangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemubual baru-baru ini.

Mengulas lanjut Muhamad Haidir berkata aktiviti perniagaan seperti pengeluaran produk hasil tanah rancangan, perusahaan industri kecil dan sederhana seperti kuih tradisional, kerepek serta ‘frozen food’, aktiviti sukan, projek pertanian tanaman sayuran dan penternakan seperti lembu, kambing, rusa dan kolam ikan antara yang sinonim dikaitkan dengan Felda di Selangor.

Felda Gedangsa sebagai contoh banyak melahirkan usahawan terutama apabila diwujudkan infrastruktur atau laman perniagaan atas inisiatif Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) bagi memberi peluang kepada warga Felda memperluas perniagaan mereka kepada masyarakat luar.

Perkara itu ujarnya bukan sahaja membantu ekonomi golongan berkenaan bahkan turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat sekaligus menjana ekonomi bersama.

“Di Felda Soeharto pula mungkin ramai yang terlepas pandang aktiviti sukan motor lasak ‘motocross’ terutama melibatkan golongan belia. Kecenderungan anak muda terhadap aktiviti sukan ini telah melakar kejayaan dalam beberapa pertandingan di samping turut menarik pelancong luar berkunjung ke Felda Soeharto dan Hulu Selangor amnya.

“Selain perkembangan positif aktiviti belia ia turut memberi persepsi baharu kepada dunia luar mengenai Felda. Dengan adanya tarikan pelancongan ia juga menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat lebih-lebih lagi rumah inap desa yang terdapat di sekitarnya,” katanya sambil menambah Felda Sungai Tengi cukup terkenal dengan aktiviti keceriaan kampung manakala Felda Sungai Tengi Selatan pernah mencatatkan pengeluaran hasil ladang tertinggi walaupun mempunyai bilangan penduduk paling sedikit.

REBUT PELUANG

Berkongsi pandangan, Presiden Pertubuhan KAF Fakhrurrazi Mohd Habib berkata pertubuhan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Mac, 2016 itu bertujuan menjadi platform mengembangkan ekonomi anak Felda terutama dari aspek latihan, infrastruktur dan beberapa inisiatif lain.

Ujar beliau, selain mahu ‘membalas jasa’ Felda dengan memberi manfaat kepada seluruh warganya, mengajak dan mendidik anak Felda untuk terus menghargai asal-usul mereka, kewujudan Pertubuhan KAF seiring matlamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda yang lain seperti GWGF dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) untuk memacu kejayaan dan melonjak imej Felda ke peringkat lebih tinggi.

“Cara mungkin berbeza, tapi fokusnya tetap sama untuk kebaikan Felda. Pertubuhan KAF sebagai contoh menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi melatih generasi baharu Felda menguasai teknologi maklumat dan komunikasi agar tidak ketinggalan menerima pakai teknologi digital terutama dalam membantu perniagaan dalam talian yang diusahakan.

“Antaranya menyediakan ruang dalam talian untuk membantu usahawan terlibat meluaskan pasaran melalui inisiatif e-Usahawan dan e-Rezeki. Dengan adanya kaedah seperti ini ia mengajar generasi muda Felda untuk berniaga secara dalam talian dan kita boleh lihat hasilnya apabila pendapatan mereka meningkat antara dua hingga tiga kali ganda,” jelasnya.

Mengenai laman perniagaan yang juga dikenali sebagai Dataran KAF Felda Gedangsa, Fakhrurrazi yang juga anak jati Felda berkenaan berkata ia menjadi sumber pendapatan kepada anak Felda yang terlibat dengan minimum pendapatan sekitar RM50 hingga RM60 sehari.

Tambahnya perniagaan masakan panas seperti ‘kueh teow’ dan menu istimewa daging rusa seperti ‘steak rusa’, sup rusa dan pau rusa, antara yang menjadi tumpuan dalam perniagaan dijalankan bermula pukul 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

“Dalam usaha meningkatkan ekonomi anak Felda selain fokus kepada latihan dan jualan makanan dan kedai runcit, kita turut memberi tumpuan kepada sumber tanah yang luas yang ada di kawasan Felda.

“Di Felda Gedangsa dan Sungai Tengi sebagai contoh kita menjalankan projek kolam ikan dan haiwan ternakan seperti ayam kampung, itik dan kambing yang dibuat secara saham di mana anak Felda yang duduk di luar tanah rancangan boleh melabur dari segi modal dan projek berkenaan akan dijaga dan diusahakan oleh mereka yang tinggal di Felda,” katanya sambil menambah keuntungan yang diperoleh akan dibahagi secara bersama.

Beliau pada masa sama turut menambah bahawa melalui inisiatif yang dijalankan ia tidak mustahil akan menarik lebih ramai anak Felda untuk ‘kembali’, sama-sama menyumbang dan berbakti untuk kebaikan Felda di samping menjadikan sesebuah Felda sebagai contoh atau ‘role model’ kepada tanah rancangan yang lain.

TRANSFORMASI ANAK MUDA

Mengulas mengenai aktiviti sukan motor lasak seperti ‘motocross’ yang menjadi kegilaan anak muda di Felda Soeharto, Timbalan Presiden Persatuan Sukan Bermotor GWGF Mohd Faizol Fuad Mohd Sallehaan berkata ia secara langsung memberi transformasi baharu mengenai Felda kepada masyarakat luar.

“Ramai anak muda Felda Selangor yang menyertai pertandingan ‘motocross’ di seluruh Malaysia termasuklah di Sabah. Aktiviti ini ibarat satu fenomena malah cukup sinonim dengan jiwa anak muda terutama di Felda Soeharto lebih-lebih lagi dengan adanya dua litar ‘motocross’ yang disediakan.

“Dalam sukan motor lasak ini juga anak muda Felda di Selangor antaranya pernah menjadi juara Supermoto Asia, juara Motocross Expert Malaysia, juara Motocross Malaysia (kategori veteran dan junior) serta bernaung di bawah Persatuan Sukan Bermotor GWGF,” katanya juga juga bekas pengerusi MBFM Negeri Selangor dan pengerusi MBFM Felda Soeharto.

Turut terlibat secara aktif dalam sukan ‘motocross’, Mohd Faizol Fuad pada masa sama berkata anak muda Felda boleh mengorak langkah lebih jauh dengan adanya peluang dan platform seperti NGO Felda yang ditubuhkan.

“Dengan adanya peluang dan galakan yang diberikan, tidak mustahil anak Felda akan berusaha lebih gigih untuk mencipta nama sekaligus mengharumkan nama Felda dengan kejayaan yang diraih dari warga peneroka sehinggalah ke generasi baharu hari ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.