Pusat Tahfiz: Tragedi Kebakaran Sukar Dilupakan Anggota Bomba, Masyarakat Setempat

KUALA LUMPUR – Hari ini genap seminggu kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalam Keramat hujung di sini. Tragedi yang meragut 23 nyawa Khamis lepas masih menghantui fikiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat dan penduduk setempat yang berusaha membantu.

Laungan meminta tolong mangsa serta saat-saat cemas awal pagi itu sukar dilupakan mereka yang melihat tragedi ngeri, yang disifatkan paling buruk selepas kejadian kebakaran Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumat, Yan, Kedah, 28 tahun lalu.

Pegawai bomba Osman Aziz, 25, berkata pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat adalah yang pertama tiba di lokasi kejadian ketika api sedang marak pada kira-kira 5.40 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami terdengar suara meminta tolong di tepi bangunan dan alangkah terkejutnya apabila kami mendapati terdapat lelaki dewasa sedang mendukung kanak-kanak tersangkut pada dinding ketika cuba turun dari bangunan.

“Saya diarahkan memanjat tangga bomba untuk menyelamatkan kanak-kanak itu. Pada masa sama, kami diberitahu ada seorang wanita bersama dua lagi kanak-kanak terperangkap di dalam bangunan, yang berjaya kami selamatkan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.