Selipar Ada Kalimah Syahadah Dirampas

SERI MANJUNG: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merampas selipar yang dipercayai menggunakan kertas tertulis kalimah syahadah sebagai pelapik di sebuah hotel di Sitiawan, di sini.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung, Roslin Om, berkata bertindak atas maklumat awam, pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota di premis berkenaan pada jam 11 pagi, semalam.

“Kami mengambil lima pasang selipar, namun hanya sepasang yang menggunakan kertas keras tertulis kalimah syahadah pada bahagian dalamnya.

“Empat lagi selipar tiada ayat suci al-Quran atau syahadah, sebaliknya hanya gambar kartun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Roslin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pelanggan premis berkenaan yang menyedari penggunaan kalimah suci itu selepas pelapik selipar terbabit terkoyak sebelum meneliti kandungannya.

“Pihak premis berkenaan mendakwa tidak mengetahui perkara itu, namun apa yang dikesalkan adalah tindakan pihak yang membuat selipar itu seolah-olah tidak menjaga sensitiviti masyarakat beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusof Husin, ketika dihubungi mengesahkan rampasan dibuat dan memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

Kejadian ini menjadi viral di laman sosial sejak malam tadi dan mendapat kecaman netizen, yang melihat perbuatan itu sebagai memperlekeh dan tidak menjaga sensitiviti agama Islam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.