Tiada Tonggak Utama Punca Kedah Kalah Dengan Felda United

ALOR SETAR – Ketiadaan beberapa tonggak utama dikenal pasti punca Kedah tewas 1-3 kepada Felda United dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, kehilangan Badrol Bakhtiar, Mohd Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari dan Syazwan Zainol kerana kecederaan menyebabkan pemain yang bermain tidak dapat menunjukan keserasian yang baik ketika merencanakan serangan.

Lebih memburukkan lagi keadaan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit pertama disusuli pada minit ke-19 dan minit ke-48 meranapkan lagi harapan Kedah untuk memberi tentangan sekurang-kurangnya untuk merapatkan jaringan dan menaikkan moral pemain.

“Kita bermula agak perlahan sehingga 20 minit permainan barulah kita ada corak permainan, namun masa itu agak terlewat untuk kita bangkit.

“Saya nampak bukan faktor kecergasan tetapi lebih kepada tiada pemain-pemain utama di dalam padang…kebiasaannya bila mereka ada permainan lebih mantap, kita tak dapat keputusan yang sebegini,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.