5 Beranak Daif Harap Dapat Bantuan

KOTA BHARU: Lima beranak hidup serba daif di sebuah rumah dengan dapur hanya berdindingkan kanvas di Kampung Tiong, di sini.

Rumah separuh siap itu didiami Umi Ros Ellynda Awang Isa, 35, bersama empat anaknya berusia empat hingga 11 tahun, manakala suaminya, Baharun Daud, 39, bekerja sebagai buruh di Kerteh, Terengganu.

Umi berkata, rumah terbabit dibina sendiri suaminya selepas berpindah dari Kerteh awal tahun ini.

“Kami tidak dapat menyiapkan rumah sepenuhnya kerana masalah kewangan. Jadi suami terpaksa kembali ke Kerteh untuk mencari rezeki dan pulang ke sini sebulan sekali.

“Saya tiada pilihan lain dan hanya berteduh di rumah ini walaupun keadaan yang tidak sesuai dan selamat untuk kami sekeluarga.

“Setiap kali hujan, bumbung rumah bocor dan ada kala rumah kami dimasuki haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga juga terpaksa menggunakan tandas milik ibunya yang serba daif dan dibina daripada zink terbuang di luar rumah.

“Jauh di sudut hati, saya sedih melihatkan keadaan yang kami alami dengan rumah serba daif ini. Namun kami tiada tempat lain untuk berteduh selain tidak tahu bagaimana cara memohon bantuan.

“Saya berharap ada pihak boleh membantu supaya dapat meringankan beban serta penderitaan kami,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.