Isu Pusat Tahfiz Bukan Soal Kuasa Kerajaan Pusat, Negeri – Najib

KUALA LUMPUR: Pusat tahfiz yang gagal mematuhi peraturan keselamatan diberi tempoh untuk mempertingkatkan aspek itu atau diarah menghentikan operasi jika terus mengabaikannya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan tragedi menimpa pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat di ibu negara minggu lalu, tidak berulang.

Katanya, Kabinet semalam memutuskan supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa semua pusat tahfiz di seluruh negara untuk memastikan keselamatan pusat itu mencapai piawaian ditetapkan.

“Ini semua berkait dengan soal keselamatan anak-anak kita yang berada di pusat berkenaan. Kita tidak boleh kompromi dengan perkara ini. Perkara ini lebih mendesak.

“Ia (isu keselamatan pusat tahfiz) seperti bom jangka, tidak boleh dipandang ringan. Ini nyawa anak-anak, bukan soal kuasa kerajaan negeri atau Persekutuan saja.

“Ini soal kebajikan dan keselamatan, nyawa anak-anak yang perlu kita pertahankan dan jaga dengan sebaik-baiknya. Ini soal masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah 1439 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib berkata, tragedi terbaru menimpa pusat tahfiz terus menghantui fikiran beliau dan mahu semua pihak bersama-sama mengatasi masalah berkaitan keruntuhan moral masyarakat yang semakin membimbangkan.

Sementara itu, Najib berkata, kesatuan dan perpaduan adalah aset serta azimat untuk sama-sama merencana strategi dalam membina sebuah negara bangsa yang berjati diri serta berjaya.

Katanya, dengan kesatuan, khususnya dalam kalangan umat Islam dan rakyat negara ini, Malaysia berjaya bebas daripada belenggu penjajahan dan mencapai kemerdekaan.

Penyatuan dan permuafakatan juga, katanya, bukan saja membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan kepada kemajuan, bahkan kini rancak merintis jalan kemakmuran menuju ambang negara maju dan negara berpendapatan tinggi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.