Kami Berhak Menang: Pengendali Felda United

PENGENDALI Felda United, B Sathianathan menganggap pasukannya memang berhak menang untuk meraih tiga mata penuh ke atas Kedah menerusi kemenangan 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.

Menurut Sathianathan, pemain The Fighters berhak meraikan kemenangan pada aksi itu sebagai kejayaan cemerlang.

“Saya kena puji pemain kerana mereka beraksi dengan baik dan melakukan apa yang kita kehendaki.

“Selepas kalah kepada PKNP, moral pemain sedikit menurun dan pertemuan dengan Kedah bukan senang, tetapi mereka telah memberikan segala-galanya melalui persembahan yang lebih baik. Saya rasa tiga mata memang patut untuk kami.

“Kita bukan menang nasib, tetapi kita beraksi dengan corak permainan yang baik. Saya harap moral pemain akan meningkat selepas ini dan kemenangan ini bagus untuk pemain menjelang pertembungan dengan PKNP nanti,” katanya.

Namun baginya, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan segera menjelang aksi kedua suku akhir Piala Malaysia kerana Felda perlu memburu tiga gol awal di tempat lawan.

“Kita perlu teruskan usaha kerana jika PKNP mampu menjaringkan tiga gol (di tempat lawan), kenapa kita tidak mampu melakukan perkara sama,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.