Penganggur Dituduh Sebat Jiran Dengan Rotan

KLANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencederakan jirannya, awal bulan ini.

Tertuduh, Ching Chee Seong, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

Ching didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Khor Meng Hiong, 52, di sebuah rumah di Jalan Jarak di sini, kira-kira jam 3.30 petang pada 6 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Detik-detik Khor dimaki dan dipukul seorang lelaki sambil disaksikan seorang kanak-kanak dan wanita yang menangis teresak-esak, telah dirakam serta viral di media sosial.

Berdasarkan laporan media, kes dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa telah memarahi seorang jiran lelaki berusia 60 tahun yang menegurnya ketika mangsa bertengkar dengan isteri.

Dalam mahkamah sama, tertuduh juga turut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 KK kerana menceroboh rumah mangsa tanpa kebenaran dengan niat melakukan kesalahan.

Amira menetapkan ikan jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan 26 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Ian Mark Simpson.

Dalam mahkamah berasingan, seorang lagi suspek yang juga rakan tertuduh, See Kean Soon, 38, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengikut Seksyen 109 KK dan 447 KK kerana bersubahat merakam menggunakan telefon bimbit ketika Chee Seong, mencederakan mangsa serta menceroboh rumah mangsa.

Perbuatan berkenaan dibuat di tempat dan masa yang sama.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan ikat jamin RM6,000 dan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.