Perlawanan Lebih Sukar Esok – Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjangkakan dia akan berdepan perlawanan sukar apabila turun menentang pemain China, Shi Yuqi dalam aksi separuh akhir Terbuka Jepun, esok.

Chong Wei semakin hampir dalam misi memburu gelaran ketujuh Terbuka Jepun selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan mengetepikan cabaran pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-11, 15-21, 21-19, hari ini.

Chong Wei yang dalam usaha membina semula tahap keyakinannya susulan kekalahan mengejut di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan lalu.

“Apabila sudah mara ke separuh akhir pastinya perlawanan akan bertambah sukar. Dengan usia saya yang semakin meningkat dan menentang pemain yang lebih muda, ia memang akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Saya perlu lebih fokus esok. Saya tidak mahu fikir banyak sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan,” kata Chong Wei ketika dihubungi di Tokyo hari ini.

Pemain berusia 35 tahun itu sudah enam kali bergelar juara Terbuka Jepun bermula 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Bagi jurulatih yang mengiringi Chong Wei di Tokyo, Tey Seu Bock, pemain itu belum mencapai tahap prestasi sebenarnya tetapi menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dihadapinya.

“Sekarang bukan lagi soal siapa lawan Chong Wei tetapi lebih kepada dirinya sendiri. Dia secara perlahan mendapat semula keyakinannya dan saya harap ia akan terus meningkat apabila dia bertemu Sho Yuqi esok,” katanya.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tersingkir di suku akhir.

Mereka tewas kepada pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 15-21, 18-21. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.