Sakaran Dipilih Tokoh Maal Hijrah

KUALA LUMPUR: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, 87, dipilih Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M.

Pengumuman dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir; Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah menerima wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.

Antara kriteria penerima adalah berpengetahuan luas, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul, memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan juga pembangunan ummah serta mendapat pengiktirafan dan diterima masyarakat.

Sakaran yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dan kini Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dilahirkan di Semporna pada 15 April 1930.

Hasil perkongsian hidup dengan Toh Puan Rukaiyah Panglima Abdullah mereka dikurniakan tujuh orang anak.

Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini adalah ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’.

Pemilihan tema bertepatan usaha kerajaan mahukan rakyat mengamalkan nilai murni melalui jalinan hubungan silaturahim dan sikap saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira status agama, bangsa dan fahaman politik.

Ini penting bagi mengelakkan perasaan permusuhan, saling membenci dan menangkis kecelaruan kefahaman dan aliran pemikiran bercanggah fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.