Transformasi Minda Tuntutan Hijrah: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, tuntutan hijrah hari ini cenderung kepada transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup berteraskan ajaran Islam sebenar.

Perdana Menteri berkata, tuntutan hijrah masa kini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat lain.

“Kekuatan utama hijrah ialah memulih dan mengekalkan perpaduan yang mana bagi umat Islam, ia berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

“Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan daripada pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, persekitaran dan sebagainya.

“Perubahan ini mampu mengubah keadaan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan taraf hidup. Kini, negara kita telah mengalami banyak perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat yang lain yang lebih baik dan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan Maal Hijrah 1439 yang dimuat naik menerusi blog rasminya, najibrazak.com, malam tadi.

Sempena tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, Perdana Menteri meminta rakyat bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini.

“Semoga sambutan kita tahun ini lebih bermakna demi Negaraku yang tercinta,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.