Usaha Malaysia Perjuang Nasib Rohingya Dapat Reaksi Dunia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah Malaysia membangkitkan isu kemanusiaan membabitkan masyarakat etnik Rohingya di Myanmar kini mendapat reaksi dunia.

Malah, Perdana Menteri berkata, ketika pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beliau sudah menjelaskan bahawa apa yang berlaku terhadap etnik Rohingya adalah isu kemanusiaan.

“Hasilnya kerajaan AS mengumumkan sumbangan AS$32 juta (RM134 juta) untuk membantu masyarakat Rohingya di Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah 1439 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut mengakui terguris hati kerana ada pemimpin pembangkang berbohong dan menuduh beliau tidak membangkitkan isu Rohingya ketika bertemu Trump.

“Lihat saja kenyataan rasmi dikeluarkan Rumah Putih mengenai isu itu, malah kita ada banyak saksi yang boleh mengesahkan saya memang membawa isu berkenaan,” katanya.

Katanya, Malaysia juga akan terus prihatin dan berperanan aktif dalam isu kemanusiaan di seluruh dunia, khususnya dalam membantu saudara seagama di Palestin dan Rakhine, Myanmar.

“Malaysia akan terus memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya selain membawa isu ini hingga ke podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ia supaya kezaliman yang tidak berperikemanusiaan ini dapat dihentikan segera,” katanya.

AS baru-baru ini bersetuju mengeluarkan kenyataan keras berhubung keganasan terhadap etnik Rohingya selepas diberi gambaran sebenar situasi krisis itu oleh Malaysia.

Trump dilaporkan mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas dan segera menamatkan keganasan ke atas Muslim Rohingya di Myanmar.

Naib Presiden AS, Mike Pence, menyampaikan pendirian Trump itu pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dan mengisytiharkan krisis itu sebagai ancaman kepada dunia.

Pada pertemuan di Rumah Putih minggu lalu, Najib dilaporkan berkata, beliau berjaya membangkitkan kesedaran Trump berhubung krisis itu apabila mengarahkan pegawai AS mengkaji bentuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa keganasan.

Pada pertemuan Najib dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May selepas itu, kedua-dua negara turut mencapai kata sepakat bahawa masyarakat antarabangsa harus mencari penyelesaian untuk mengakhiri krisis yang semakin meruncing itu.

Serentak itu, Perdana Menteri Britain turut mengesahkan negaranya akan menghantar bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula menyifatkan serangan Kerajaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya adalah genosid (pembunuhan beramai-ramai). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.