Bantuan Kewangan Sekali Gus Pelajar Orang Asli Di IPT Dinaikkan: PM

PEKAN: Bantuan kewangan sekali gus untuk pelajar Orang Asli yang menyambung pengajian di universiti awam (UA) akan dinaikkan.

Perdana Menteri berkata pengumumannya akan dibuat dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada bulan hadapan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bantuan berkenaan akan dapat meringankan beban keluarga pelajar Orang Asli untuk menguruskan pendaftaran sekali gus menggalakkan lebih ramai kaum itu berjaya dalam akademik.

“Pendidikan adalah antara aspek penting untuk mengubah masa depan Orang Asli, saya difahamkan setakat ini sudah 767 Orang Asli melanjutkan pengajian di universiti awam, menerusi program pengajian luar negara pula seramai 72 orang melanjutkan pengajian sejak 2010 sehingga 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra dan minum petang Perdana Menteri bersama masyarakat Orang Asli Parlimen Pekan di Perkampungan Orang Asli Kampung Menchupu dekat sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta bagi melaksanakan program inap desa Orang Asli untuk memperkasakan golongan berkenaan dalam bidang keusahawanan.

“Ia akan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya.

Yang turut hadir,Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan komited melaksanakan penambahbaikan kepada program sedia ada bagi membantu masyarakat Orang Asli dan memastikannya bersama dalam pembangunan arus perdana.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab pihaknya tidak akan meminggirkan Orang Asli dan mahu kedudukannya setaraf dengan kaum lain di Malaysia.

“Justeru itu segala program dilaksanakan kerajaan mesti merangkumi dan memberi manfaat kepada Orang Asli.

“Saya ada berbincang dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk merangka penambahbaikan dan tambahan kepada program sedia ada supaya masyarakat Orang Asli dapat merasai kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan untuk mereka,” katanya.

Info:

#Kerajaan menyalurkan RM4.5 juta kepada pelajar Orang Asli yang mengikuti pengajian di IPT bagi tahun ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.