Emma, Kamal Adli ‘Bersatu’ Hujung Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Biarpun pasangan pelakon, Emma Maembong dan Kamal Adli, belum dapat mengesahkan bilakah masanya mereka akan menaiki pelamin di alam realiti, namun jodoh kedua-duanya semakin kuat di layar kecil.

Selepas bergandingan dalam drama Syurga Tanpa Cinta dan Jodoh Sebelah Pintu, kedua-duanya bakal disatukan sekali lagi dalam naskhah terbitan Suhan Movies & Trading berjudul Jangan Padam Rindu.

Drama 20 episod yang diangkat daripada sebuah novel itu akan memulakan penggambaran pada hujung bulan ini dan bakal disiarkan menerusi saluran TVi.

“Saya baru saja menamatkan penggambaran drama Awak Suka Saya Tak? bergandingan dengan Alvin Chong. Ia akan disiarkan bermula 25 September ini di Astro Ria. Drama itu akan mengisi slot sama drama lakonan Kamal dan Zahirah Macwilson, Duda Pujaan Dara, yang sudah pun tamat siarannya.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan ke lokasi penggambaran drama terbitan Suhan Movies pula, dengan Kamal,” katanya kepada BH Online.

Diusik sekali lagi dengan pertanyaan mengenai perkahwinan, Emma berkata, beliau sendiri sememangnya belum mempunyai apa-apa perancangan ke arah itu.

“Kalau saya berkahwin pun, rasanya tak perlu majlis pertunangan. Lebih baik terus bernikah dan mempercepatkan urusan yang wajib.

“Cuma, buat masa ini tiada apa yang nak dikongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal. Apabila tiba waktunya, saya akan umumkan juga nanti.

“Ketika ini, saya dan Kamal mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya selain mencapai impian masa depan terlebih dulu. Saya juga ingin menumpukan perhatian pada bisnes. Apabila kehidupan sudah semakin stabil, bolehlah merancang ke arah itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran tudung keluarannya di sini.

Menyentuh mengenai tudung berjenama sendiri itu, Emma berkata, ia dicetak dengan lukisan hasil tangannya.

“Saya memang minat melukis dari kecil lagi kerana mewarisi bakat ayah (Ismail Embong). Daripada saya lukis atas kanvas atau kertas, kenapa tidak saya zahirkan minat itu ke atas tudung pula?

“Keluarga saya termasuk Yaya dan Cody antara yang memberi semangat untuk saya tampil dengan perniagaan ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.