Tipu Pakej Umrah: 97 Kompaun Dikeluarkan

SEPANG: Sebanyak 97 kompaun berjumlah RM515,500 dikenakan terhadap pengendali pakej umrah di negara ini atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan pakej umrah sejak 2012.

Pengarah Negeri, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Selangor, Arshad Mustapa, berkata dari Januari hingga Ogos lalu saja, sebanyak 18 kes kompaun berjumlah RM129,500 dikenakan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

Katanya, ia membabitkan kesalahan seperti agensi pelancongan tanpa lesen mengendalikan umrah, perniagaan luar bidang yang dilesenkan dan bekerjasama dengan agensi tanpa lesen.

Arshad berkata, Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kes penipuan umrah.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berkenaan mengambil inisiatif mengadakan kempen kesedaran supaya masyarakat memilih pengendali pakej umrah yang boleh dipercayai.

“Melalui kempen ini, kita memberi beberapa tip supaya bakal jemaah tidak mudah percaya guna khidmat pengendali pakej umrah yang mendakwa menawarkan harga lebih rendah berbanding agensi lain.

“Harga minimum boleh ditawarkan adalah sekitar RM4,900 dan ke atas, meliputi tiket kapal terbang, penginapan dan aktiviti yang akan diadakan di destinasi.

“Kita bimbang jika harga yang dibayar di bawah harga minimum, pakej yang diberikan ketika tiba untuk mengerjakan umrah itu tidak sama seperti dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah peringkat Selangor di sini, hari ini.

Arshad berkata, kebanyakan jemaah umrah ditipu melalui dua cara, iaitu penipuan produk apabila pengendali pakej umrah tidak muncul selepas mendapat wang daripada bakal jemaah.

Selain itu, katanya, penipuan perkhidmatan tidak setara iaitu jemaah tidak mendapat perkhidmatan yang dijanjikan selepas tiba di destinasi.

“Sebagai contoh, jemaah dijanjikan bilik berdekatan atau sekitar 100 meter dari Masjidil Haram, tetapi di sana perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer.

“Jika seperti ini, saya harap mereka tampil membuat laporan kepada kementerian, polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan.

“Jika tidak buat laporan, kita tidak boleh bertindak dan masalah ini akan berterusan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.