Piala Malaysia: ‘Pengintip’ Korek Rahsia Pada Sesi Latihan FELDA United

KETUA Jurulatih FELDA United, B Sathianathan memperkatakan sesuatu kepada individu yang dikatakan mengintip sesi latihan akhir pasukan itu di Stadium Mini BSN, Bangi, menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia, malam esok.

KUALA LUMPUR: FELDA United menerima kunjungan ‘tetamu’ tidak diundang yang hadir menyaksikan sesi latihan akhir pasukan itu di Stadium Mini BSN, Bangi, petang tadi, menjelang aksi pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang PKNP FC.

Esok, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Shah Alam, Selangor selepas kelab dari Perak itu menang 3-1 pada aksi pertama.

Walaupun individu yang dikatakan sebagai pengintip itu hanya memerhatikan dari jauh, namun kehadirannya turut disedari oleh Ketua Jurulatih FELDA, B Sathianathan.

Bagaimanapun, Sathianathan tidak mahu mempedulikan perkara itu kerana baginya, ia langsung tidak membantu perancangannya untuk menghadapi 90 minit minit aksi timbal balik, malam esok.

“Saya difahamkan dia adalah seorang daripada ‘orang’ PKNP. Kalau betul sekali pun, saya tidak mahu peduli dan kami akan bermain seperti biasa.

“Saya kasihan tengok dia duduk bawah panas dan sebab itu saya panggil dia. Kalau nak tengok latihan FELDA, datanglah. Saya panggil dia tetapi selepas itu dia terus beredar,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pengendali kebangsaan itu mengakui pasukannya berdepan tugas getir memandangkan rekod PKNP cukup baik sejak kebelakangan ini.

“Jangan fikir keputusan lalu dan kita anggap ia perlawanan baharu. Segala-galanya akan ditentukan pada perlawanan ini.

“Tidak timbul kita akan lebih kepada menyerang atau sebaliknya dan kita akan bermain seperti sedia kala. Paling penting kita perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada,” katanya.-BH.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.