Jumlah Mangsa Banjir Kedah Terus Meningkat

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 3,607 membabitkan 1,078 keluarga sehingga pagi ini walaupun tiada hujan sejak semalam.

Semua mangsa ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata sehingga jam 10 pagi tadi, lapan pusat pemindahan masih beroperasi di Kota Setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak; Surau Assyakirin; SK Alor Mengkudu; SK Bukit Pinang; Dewan Taman Sri Bagan; SK Seri Gunung dan Dewan Wawasan Kampung Kelompang.

Katanya, lapan pusat pemindahan itu menempatkan keseluruhan 860 penduduk membabitkan 240 keluarga.

“Selain itu, tujuh pusat pemindahan masih dibuka di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama; Dewan Kampung Lahar; SMK Mahawangsa; Dewan Tokong Cina; Dewan Kubur Siam; Dewan Manggol Malau dan Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu dengan jumlah keseluruhan 1,581 penduduk membabitkan 536 keluarga.

“Di Pokok Sena, lima pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau; Madrasah Maahad Tarbiyah; Dewan Kampung Permatang Limau, Dewan Orang Ramai Kampung Empa dan Dewan Lubung Keriang dengan jumlah keseluruhan 692 penduduk membabitkan 157 keluarga.

“Bagi Pendang pula hanya sebuah pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 276 penduduk membabitkan 76 keluarga,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.