Sathianathan Puji Komitmen Pemain Skuad ‘The Fighters’

SHAH ALAM – Ketua jurulatih pasukan Felda United, B. Sathianathan memuji aksi cemerlang yang ditampilkan skuad ‘The Fighters’ ketika membenam wakil Liga Perdana, PKNP FC 4-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata anak didiknya memberikan komitmen terbaik di atas padang kerana sedar hanya kemenangan selesa bakal menjamin tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Pemain sedar mereka hadir ke Stadium Shah Alam dengan satu misi untuk menang dan berjaya melakukannya dengan penuh komitmen,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Felda United mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 5-4 walaupun tewas 1-3 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 Sept lepas.

Sathianathan pada masa sama berkata pasukannya boleh menambah lebih banyak jaringan pada perlawanan berkenaan namun jentera serangan banyak mensia-siakan peluang yang terhidang di depan pintu gol lawan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.