‘Saya Dapat Rasai Angin Kuat Memukul Pesawat’

KUCHING: “Saya tidak dapat bayangkan perasaan ketika itu, memang amat cemas apabila pesawat itu tiba-tiba terasa terhuyung-hayang.”

“Sebaik sahaja mendarat, saya sedar pesawat itu menghala ke tepi landasan dan ketika itu perasaan saya cemas amat sangat,” kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, sepanjang penerbangan dari Mukah ke Kuching pada petang semalam, cuaca baik namun keadaan bertukar buruk ketika pesawat hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Hujan tiba-tiba lebat disertai angin kuat ketika pesawat cuba mendarat di lapangan terbang.

“Saya dapat merasai angin kuat yang memukul pesawat menyebabkan ia terbabas ke tepi (ketika mendarat) ,” katanya.

Fatimah adalah seorang daripada lima penumpang pesawat Beechcraft King Air milik Hornbill Skyways yang tergelincir ketika mendarat dalam cuaca buruk di LTAK, pada petang semalam dipercayai akibat angin lintang.

Katanya, detik itu memang amat mencemaskannya, tetapi beliau mampu mengawal perasaan kerana sudah biasa menaiki pesawat sama untuk urusan kerja di seluruh Sarawak sebelum itu.

“Ketika pesawat itu hampir mencecah landasan, tiba-tiba angin kuat datang menyebabkan ia terhuyung hayang.

Fatimah berkata, selain juruterbang dan pembantu juruterbang, tiga lagi pegawainya turut bersamanya dalam pesawat berkenaan. Seorang lagi penumpang adalah petugas teknikal.

“Alhamdulillah, kami semua selamat dan juruterbang berjaya mengendalikan keadaan dengan baik.

“Saya bersyukur kerana tiada seorang pun penumpang dan anak kapal yang cedera,” katanya.

Fatimah berkata, mereka sepatutnya meninggalkan Lapangan Terbang Mukah pada jam 4.30 petang semalam, namun perubahan program di Dalat memaksa mereka menjadualkan semula penerbangan sejam kemudian.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melemahkan semangat Fatimah, kerana pagi semalam beliau terbang semula ke utara Sarawak, untuk menghadiri majlis rasmi di Miri. – BERITA HARIAN

PESAWAT Beechcraft King Air tergelincir ketika mendarat dalam cuaca buruk di LTAK, pada petang Ahad dipercayai akibat angin lintang.
PESAWAT Beechcraft King Air tergelincir ketika mendarat dalam cuaca buruk di LTAK, pada petang Ahad dipercayai akibat angin lintang.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.