91 Keluarga Mangsa Banjir Kampung Tuah Jaya Dibantu

JOHOR BAHRU: Nasib 91 keluarga di Kampung Tuah Jaya, dekat sini yang terjejas akibat banjir kilat, mendapat perhatian Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

MPJBT menyumbang RM200 kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban mangsa.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyayang MPJBT, Datuk Abdul Rashid Kasman, berkata kerajaan tidak pernah lepas tangan membantu mangsa banjir.

Katanya, hanya dalam tempoh kira-kira seminggu selepas kejadian itu, pelbagai pelbagai pihak tampil memberi sumbangan.

“Kita sentiasa membantu golongan yang memerlukan seperti mangsa banjir ini. Bantuan ini mewakili satu peratus pungutan cukai harta yang disalurkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Kita yakin lebih banyak lagi agensi berkaitan akan tampil,” katanya ketika menyampaikan bantuan itu di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, 91 keluarga terbabit mendaftar di pusat pemindahan sementara yang dibuka di balai raya kampung itu pada 19 September lalu.

“Bagi yang tidak mendaftar, boleh berbuat demikian menerusi ketua kampung dan pihak yang dipertanggungjawabkan.

“Kita faham, ketika banjir, semua sibuk dan ada yang tercicir dan perkara ini kita ambil maklum,” katanya.

Mangsa banjir, Ab Majid Kasim, 51, yang bekerja sendiri mengakui penat mengharungi banjir masih terasa, selain sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat.

“Kami reda dengan ujian ini dan berharap bantuan yang dihulurkan tidak terhenti di sini sahaja,” katanya.

Siti Aminah Omar, 47, yang menetap di kampung terbabit bersama suami dan lima anaknya sejak 21 tahun lalu, berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan Yayasan Penyayang MPJBT.

“Alhamdulillah, bantuan ini akan digunakan untuk membeli barangan dapur yang tenggelam akibat banjir. Memang banyak barang rosak, televisyen rosak, almari semua tenggelam hingga paras pinggang,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.