F1: Jualan Tiket Kurang Memuaskan – Razlan

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali mengakui kurang berpuas hati dengan jualan tiket Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Jelas Razlan, sehingga kini jumlah tiket yang terjual adalah 60,000 keping, kurang daripada sasaran 80,000 pengunjung untuk perlumbaan Ahad ini.

“Jika hendak dibandingkan dengan tahun lalu, memang ada peningkatan.

“Tapi jika melihat kepada situasi kita yang menganjurkan perlumbaan F1 untuk kali terakhir, jumlah itu kurang memuaskan.

“Bagaimanapun, seperti yang anda semua ketahui, budaya peminat di Malaysia ialah mereka suka membeli tiket di saat akhir. Jadi saya berharap sasaran itu akan dapat dicapai menjelang hari perlumbaan nanti,” katanya pada sidang media taklimat keselamatan dan lalu lintas F1, hari ini.

Justeru, Razlan berharap peminat F1 di negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlumbaan berprestij itu buat kali terakhir di SIC, Jumaat hingga Ahad ini.

PERLUMBAAN berprestij GP F1 adalah yang terakhir di SIC, Jumaat hingga Ahad ini. – Foto fail NSTP/Osman Adnan

“Untuk semua peminat F1, anda harus ingat kita tidak akan menganjurkan perlumbaan ini lagi untuk tahun-tahun seterusnya.

“Jadi berilah sokongan kepada penganjuran terakhir F1 di SIC dengan segera membeli tiket yang kini ditawarkan jauh lebih murah berbanding sebelumnya,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai tiket boleh layari www.sepangcircuit.com. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.