Laporan ADB Tunjuk Ekonomi Malaysia Berkembang – PM

PUTRAJAYA: Laporan semakan terbaharu Bank Pembangunan Asia (ADB) menyaksikan pertumbuhan ekonomi Malaysia disasarkan meningkat daripada 4.7 peratus kepada 5.4 peratus, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ramalan pertumbuhan ekonomi dibuat ADB itu jelas menunjukkan ekonomi negara berkembang pada landasan tepat.

Beliau berkata, ADB meletakkan Malaysia dan Hong Kong sebagai negara di Asia yang menunjukkan peningkatan besar dalam pertumbuhan ekonomi.

“Laporan terbaharu ADB terhadap semakan pertumbuhan ekonomi tahun ini meramalkan ekonomi Hong Kong meningkat daripada 2 peratus kepada 3.2 peratus manakala Malaysia daripada 4.7 peratus kepada 5.4 peratus.

“Jadi jangan mendengar kata-kata pihak tertentu yang cuba untuk menjatuhkan negara ini demi kepentingan agenda politik mereka. Bukti cukup jelas bahawa (ekonomi) kita berkembang pada landasan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Pusat Konvensyen dan Expo Malaysia (MyExpo) di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia disokong oleh fakta bahawa Malaysia diterima sebagai rakan dagang di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Arab Saudi dan India.

“Semua negara ini mahu menjalinkan perdagangan dengan Malaysia kerana mereka mengetahui fakta termasuk dikeluarkan Bank Dunia yang menyatakan ekonomi Malaysia berkembang dengan kukuh,” katanya.

Najib berkata, ada juga pihak tertentu yang mendakwa ekonomi Malaysia berada dalam keadaan bahaya untuk bankrap.

“Tetapi kenapa dalam laporan terbaharu PricewaterhouseCooper berkenaan dunia pada 2050 meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar negara berada pada kedudukan 24 tertinggi di dunia,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.