Belia FELDA Bina Menara KLCC Dari Buluh

GUA MUSANG – Bermula sekadar hanya ingin mencuba, belia dari Felda Chiku 7 di sini, berjaya menyiapkan menara berkembar KLCC menggunakan buluh sahaja.

Fahmien Azwan Che Hashim, 18, dia yang juga generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkata, dia tidak mempunyai sebarang kemahiran dalam menghasilkan binaan buluh.

“Pada mulanya, saya hanya cuba sahaja. Saya mula mencari buluh di kawasan kampung dan mendirikan menara tanpa lakaran. Lama kelamaan, binaan ini kelihatan menarik dan saya cuba menyiapkannya.

“Saya hanya buat menara ini di kawasan hadapan rumah sahaja dengan hiasan bendera untuk sambutan Hari Merdeka, baru-baru ini. Saya ambil masa untuk siapkannya lebih sebulan.

“Melihat kepada tarikan yang berjaya dihasilkan, saya turut menyertai pertandingan hiasan rumah merdeka yang dianjurkan Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) cawangan Chiku 7,” katanya.

Tambah Fahmien, sepanjang penghasilan itu, dia menghabiskan wang sendiri hampir RM200 untuk mendapatkan bendera serta hiasan lain.

“Buluh saya hanya cari sendiri dan saya akan tumpukan kepada hiasan dan binaan menara ini ketika masa lapang sahaja kerana saya juga bekerja.

“Insya-ALLAH, harap-harap akan ada kemenangan buat saya kerana binaan menara ini hanya saya sahaja yang buat dalam kawasan rancangan ini.

“Saya cuba melahirkan kelainan di mana selain bendera, menara KLCC juga adalah mercu tanda negara kita. Saya menghasilkan hiasan ini sendiri tanpa ada bantuan dari sesiapa,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.