FELDA Tak Akan Jual Pegangan FGV

IPOH: FELDA tidak akan menjual pegangan sahamnya dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) seperti didakwa, sebaliknya kekal dalam membantu menjana keuntungan kepada peneroka melalui pembayaran dividen.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, berkata FELDA dan FGV ialah entiti yang berkait rapat kerana aset yang ada dalam FGV ketika ini dulunya ialah aset FELDA.

Oleh itu, beliau berkata, penjualan pegangan saham FGV sesuatu yang tidak akan berlaku.

“Kita tidak akan jual dan bila saya kata kita tak akan jual, bukanlah bermaksud bahawa tidak akan berlaku sebarang urus niaga dan tidak akan berlaku penyusunan semula.

“Soal pegangan saham FGV untuk kepentingan peneroka dan FELDA, kita pegang sebanyak 730 juta unit saham dan dividen saham berkenaan dibayar semula kepada warga dan masyarakat FELDA iaitu peneroka dan petugas FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muafakat FELDA Wilayah Trolak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak, Muhamad Haidir Moin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah agensi berita antarabangsa sebelum ini yang mendakwa kononnya FELDA yang ketika ini mempunyai kepentingan kira-kira 33 peratus pegangan saham dalam FGV akan menjual kepentingannya kepada dua hartawan Indonesia, iaitu Martua Sitorus dan Peter Sondakh.

Shahrir berkata, ada beberapa langkah lain yang boleh dilaksanakan dalam mengukuhkan semula FELDA dan ia tidak semata-mata melalui penjualan pegangan dalam FGV.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika hadir pada Seminar Muafakat Felda Wilayah Trolak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh.

Katanya, antara yang sudah dilaksanakan ialah melalui penjualan hotel di London yang kini sedang dimuktamadkan.

Beliau berkata, perkara yang menjadi perhatian FELDA dan yang paling penting ialah kelapa sawit kerana FELDA menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia.

“Kalau tiada hotel di London (untuk diuruskan) kita kena juga jaga kelapa sawit untuk peneroka dan tidak ada kaitan atau hubungan antara hotel di London dengan apa yang kita buat sebagai FELDA.

“Jadi kita jual hotel di London dan mana-mana aset lain yang kita boleh cairkan, kita cairkanlah. Hotel FELDA di London ketika ini sedang dalam pasaran dan kita sedang menunggu pengesahan (jualan),” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.