Felda Takkan Beri Laluan Mudah

PENGENDALI Felda United, B Sathianathan mengakui pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, dalam saingan Liga Super tidak memberi sebarang makna setelah kelab dari selatan tanah air itu dinobatkan juara liga.

Justeru, beliau hanya mahukan pemainnya menikmati baki terakhir perlawanan liga tanpa memikirkan kesungguhan mencari tiga mata berharga.

“Saya beritahu pemain supaya enjoy dan menikmati perlawanan menentang antara kelab terkuat di negara ini.

“Tiada apa yang perlu dikejar tetapi kami juga tidak akan memberikan perlawanan yang mudah untuk mereka,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan merehatkan pemain utama selepas kejayaan bangkit membenam PKNP FC dalam saingan suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini, beliau akan memikirkannya sebelum perlawanan berkenaan.

“Ada kemungkinan saya akan meletakkan gabungan pemain senior dan simpanan tetapi ia hanya akan diputuskan sebelum perlawanan nanti,” katanya.

Pada masa sama, pengendali berusia 59 tahun itu juga mengucapkan tahniah kepada JDT yang mengekalkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut.

“Mereka (JDT) memang layak memenangi Liga Super kerana mereka mempunyai kelab yang kuat bukan sahaja pada skuad utama mereka tetapi juga pada skuad simpanan.

“Tetapi, biarpun mereka mempunyai kelab hebat, kami tetap bersedia bagi memberikan tentangan sengit kepada mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.