FELDA Utd Terkedu ‘Layanan Istimewa’ FMLLP

KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) perlu menghentikan layanan istimewa terhadap pasukan tertentu sekiranya mahu Liga Malaysia (Liga M) berjaya daripada sudut komersial.

Kelmarin, skuad Liga Super FELDA United sudah bersedia untuk menanti lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka seperti dijadualkan.

Bagaimanapun FMLLP membuat pertukaran di saat akhir dengan memindahkan perlawanan berkenaan ke Stadium Shah Alam tanpa berbincang dengan pengurusan FELDA United, dan tarikh perlawanan ditunda esok pula.

STADIUM Shah Alam akan digunakan bagi aksi Liga Super antara Felda United dan JDT, malam esok. – Foto Osman Adnan

Ketika dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam enggan mengulas tentang isu terbabit.

Sumber dalaman FELDA United berkata, mereka menerima surat daripada FMLLP kelmarin menyatakan perubahan venue kerana masalah logistik.

“Kami terkedu kerana kami tidak dirujuk berkenaan perkara ini. Tambahan pula, sebarang pertukaran perlu dilakukan 48 jam sebelum perlawanan.

“FMLLP memaklumkan kepada kami kurang 24 jam dan ini menyalahi peraturan,” kata sumber berkenaan.

“FMLLP perlu memberikan penjelasan segera tentang perkara ini. Amat mengecewakan kerana kami sudah merancang aktiviti sampingan di Jengka bagi mempromosikan perlawanan ini. Sekarang kami terpaksa membatalkannya.”

Sementara itu, pengendali FELDA, B Sathianathan mengesahkan pasukannya dalam persiapan berangkat ke Jengka dari Kuala Lumpur kelmarin ketika kelab menerima makluman daripada FMLLP.

“Kami sepatutnya ke Jengka selepas latihan sesi pagi, tetapi diberitahu pada jam 3 petang yang perlawanan dipindahkan ke Shah Alam.

“Saya tidak mahu mempersoalkan apa-apa. Sebagai pekerja, saya akan menurut arahan pihak majikan. Tugas saya ialah mempersiapkan pasukan,” kata Sathia. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.