Peneroka Felda Di Negeri Sembilan Dibenar Bina Rumah Anak

SEREMBAN – Peneroka tanah rancangan Felda di negeri ini dibenarkan untuk membina lebih daripada satu unit rumah khususnya bagi membina rumah generasi kedua dan ketiga, di dalam tapak asal rumah (peneroka).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu dibuat selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membenarkan peneroka untuk membina rumah generasi seterusnya di atas tapak rumah sedia ada itu.

Katanya, pihaknya menerima banyak permohonan daripada peneroka untuk membina rumah lain bersebelahan dengan rumah yang sedia ada untuk anak-anak mereka.

“Jika sebelum ini kita tidak benarkan bina lebih dari satu rumah di tapak yang sama, tetapi kini kita luluskan bahawa anak generasi kedua dan ketiga boleh bina rumah atas tapak rumah yang sama, yang sedia ada sekarang ini.

“Mereka boleh membuat rumah sama ada menggunakan duit sendiri atau melalui skim pinjaman perumahan atau SPNB bersebelahan dengan rumah orang tuanya.

“Bagi anak-anak yang sebelum ini tinggal bersama ibu bapa mereka, kini boleh buat rumah sendiri berdekatan dengan orang tuanya, tidak perlu nak tunggu lot tapak baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri dekat sini semalam.

Tambahnya, setiap peneroka felda sebelum ini menerima lot tapak rumah seluas antara 0.20 hektar, manakala 3.24 hektar bagi tanah ladang.

Terdahulu, Perdana Menteri pada sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 lalu, mengumumkan insentif kelulusan membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak di tanah rancangan felda.

Katanya, sebanyak 70,506 tapak rumah dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.