13 Kampung Di Kota Belud Terjejas Banjir

KOTA BELUD: Sebanyak 13 kampung digenangi banjir kilat hingga menjejaskan ratusan penduduk di daerah ini setakat pagi ini, susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Setakat jam 7 pagi tadi, kampung yang terjejas ialah Kampung Bobot, Menunggui, Siasai Tamu, Ejuk, Kota Belud, Lingkodon, Donggoi, Sadok-Sadok, Gunding, Linau, Timbang, Siasai Kupang dan Taun Gusi Keranjangan.

Jumlah itu meningkat berbanding hanya tujuh kampung digenangi banjir, malam tadi.

Dua jalan terputus hubungan malam tadi akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kampung Bobot dan Jalan Siasai Tamu, bagaimanapun kini boleh dilalui.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Lt Kol Mohd Izaimi Md Daud, berkata air beransur surut setakat jam 7 pagi ini.

“Ada sebahagian kawasan rendah seperti Kampung Bobot, Siasai Tamu dan Menunggu masih ada takungan air di jalan raya namun secara keseluruhan air beransur surut.

“Bagaimanapun, anggota APM turut melakukan pemantauan secara berkala di lokasi yang terjejas,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 12 penduduk daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said, setakat jam 1 pagi tadi.

“Paras air Sungai Tempasuk dan Sungai Abai juga menunjukkan penurunan tetapi masih pada paras amaran,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.