Cacat Bukan Penghalang Ke Menara Gading

KOTA BHARU: Kecacatan kedua-dua belah tangan sejak lahir tidak meruntuhkan semangat seorang anak muda untuk berdikari sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading seperti orang normal.

Muhd Shahir Azmi, 22, mengalami kecacatan pada kedua-dua tangannya dari paras siku mula berdikari melakukan pelbagai pekerjaan sendiri sejak berusia 15 tahun, dan kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Polisi dan Sekitaran Sosial di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, dia tidak pernah merasakan kekurangan pada dirinya itu sebagai penghalang untuk dia berusaha bagi mendapatkan sesuatu yang diingini.

“Dari kecil saya belajar untuk menerima ketentuan dan kekurangan yang ada pada diri saya, namun ia tidak sesekali dijadikan sebagai alasan untuk saya tidak berjaya.

Muhd Shahir Azmi, tidak kekok melayan pelanggan di gerai Goreng Pisang Cheese (GPS) di Jalan Telipot, Kota Bharu. – Foto Faris Zainuldin

“Hasil daripada kerja keras dan sokongan daripada keluarga terutama ibu dan ayah, saya dapat melanjutkan pelajaran di menara gading walaupun banyak cabaran yang perlu saya lalui.

“Selain memberi fokus untuk berjaya dalam pelajaran, saya juga sentiasa mencabar diri saya untuk mencari rezeki sendiri seperti anak muda lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu tidak pernah mensia-siakan masa terluang terutama ketika cuti semester untuk berniaga bagi mencari wang saku dan menampung kos perbelanjaan di universiti.

Katanya, ayahnya, Azmi Mat Noor, 54, yang bertugas sebagai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa, ada mengirim wang kepadanya, namun dia lebih selesa mencari wang sendiri dan hidup berdikari.

“Biasanya, saya akan membuat kerja sambilan seperti menjual burger dan pisang goreng sambil dibantu rakan baik serta ahli keluarga lain.

“Saya banyak berniaga sendiri berikutan sebelum ini beberapa kali permohonan untuk bekerja di pusat membeli-belah ditolak kerana kekurangan yang dialami ini.

“Seperti orang lain, saya berharap mampu berjaya dan mendapat kehidupan yang lebih baik walaupun fizikal saya tidak sempurna,” katanya yang sentiasa berfikiran positif dalam menjalani kehidupan seharian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.