Felda United Naik Ke Tangga Ketiga Selepas Jinakkan JDT

Felda United tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-2 dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Shah Alam pada malam ini.

Kedua-dua pasukan, yang telah mengesahkan kemaraan dalam separuh akhir Piala Malaysia, beraksi penuh semangat terutama The Fighters yang memburu kedudukan lebih baik dalam liga.

Kemenangan ke-10 itu membawa Felda memintas Kedah — yang tewas 4-2 di tangan Sarawak semalam — untuk berada di tangga ketiga dengan mengumpul 36 mata dan dibezakan tiga mata di belakang Pahang.

JDT, yang sudah mengesahkan kejuaraan liga, menurunkan beberapa pemain yang direhatkan ketika menentang Melaka dalam suku akhir kedua Piala Malaysia termasuk Mohammed Ghaddar dan Safiq Rahim.

Sementara itu, Felda menaruhkan penyerang sensasinya, Thiago Augusto Fernandes, membuahkan hasil apabila pemain dari Brazil itu merekodkan jaringan hatrik pada minit ke-27, 45 dan 64.

Dua gol JDT pula disumbangkan oleh Junior Eldstal yang selepas itu dilayangkan kad merah dan Gonzalo Cabrera masing-masing pada minit ke-39 dan 57. – STADIUMASTRO.COM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.