‘Orang Dalam’ Disyaki Dalang Kehilangan Kertas Soalan UPKK

MELAKA: Kes pecah masuk Bahagian Pendidikan Pejabat Agama Islam Melaka (Jaim) dan kehilangan kertas peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam kejadian pada Khamis berkemungkinan besar didalangi ‘orang dalam’, kata Pengarah Jaim Md Azhan Samat.

Beliau berkata kes pecah masuk dan kehilangan kertas berkenaan yang berlaku di Aras 1, Unit Akademik, Bahagian Pendidikan Jaim itu merupakan kejadian kali pertama berlaku di Melaka dan di negara ini.

“Sebanyak 65 kertas soalan peperiksaan UPKK yang dikesan hilang membabitkan subjek Ulum Syariah iaitu sebanyak 24 naskhah, Adab (Akhlak Islamiah) Kertas 2 (27 naskhah) dan Jawi dan Khat (14 naskhah) yang merupakan edaran bagi Sekolah Rendah Agama di kawasan Alor Gajah.

“Kertas soalan berkenaan diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 14 Sept lepas sepatutnya diagihkan kepada setiap daerah semalam sebelum disedari hilang,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Jumaat.

Beliau berkata pejabat berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pihaknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

Md Azhan berkata seramai 7,000 calon bakal menduduki UPKK di 167 pusat peperiksaan di seluruh Melaka pada tahun ini dengan jumlah lapan mata pelajaran keseluruhan.

Katanya berikutan kejadian itu, pihak Jaim akan meningkatkan keselamatan di pejabat berkenaan selain proses pengagihan dengan lebih teratur termasuk melakukan penyelarasan dengan Jabatan Pendidikan negeri serta Polis Diraja Malaysia bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Pemasangan CCTV akan dilakukan bergantung kepada peruntukan,” katanya.

Akhbar melaporkan Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata jadual peperiksaan UPKK bagi tahun 2017 disusun semula berikutan kejadian pecah masuk di premis tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun kejadian itu tidak menjejaskan pelaksanaan peperiksaan tersebut yang dijadualkan pada 2 hingga 5 Oktober depan kerana Jakim telah menyediakan set soalan kedua bagi subjek terlibat dan penyusunan jadual baharu adalah bagi memastikan kelancaran peperiksaan UPKK 2017.  – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.