Pecah Masuk Bangunan JAIM Mungkin Kerja ‘Orang Dalam’ – Idris

MELAKA: Kerajaan Melaka tidak menolak kemungkinan kejadian pecah masuk bangunan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sini semalam, dilakukan ‘orang dalam’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kejadian terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencemarkan imej Islam yang mementingkan akhlak dan teladan baik.

“Saya akan minta JAIM lakukan siasatan dan percaya yang melakukannya adalah orang dekat dengan JAIM.

“Kita akan pastikan mereka yang terbabit diambil tindakan tegas kerana sudah menyusahkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ibu bapa,” katanya.

Beliau yang ditemui pada program Ziarah Kasih sekitar Sungai Udang, di sini hari ini berkata demikian ketika mengulas laporan kejadian pecah masuk Bahagian Pendidikan JAIM semalam.

BH Online hari ini melaporkan JAKIM dalam satu kenyataan, memaklumkan menerima laporan insiden itu dan mendapati kehilangan tiga kertas soalan bagi tiga subjek Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

UPKK dijadualkan pada 2 hingga 5 Oktober ini dan kejadian berkenaan menyebabkan jadual peperiksaan baharu perlu disusun.

Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menyarankan JAIM menggunapakai proses penyimpanan kertas soalan berasaskan tiga kategori, iaitu sulit, persendirian dan kerahsiaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.