Penduduk 3 Kampung Terjejas Banjir Kilat

BATU KURAU: Lebih 22 rumah di tiga kampung iaitu Pantai Besar, Pantai Besar Ijok dan Sungai Ara, dekat sini terjejas dalam banjir kilat selepas hujan lebat pada jam 4.30 petang tadi.

Berikutan itu pusat pemindahan dibuka di Sekolah Agama Salbiah Pantai Besar Ijok, namun bilangan sebenar mangsa belum dapat dipastikan.

Operasi menyelamat mangsa banjir masih diteruskan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Selama dan Batu Kurau, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selama serta dibantu penduduk kampung.

Seorang mangsa, Hasnah Shaari, 69, dari Kampung Pantai Besar berkata, ketika kejadian dia sedang tidur.

“Waktu air naik mak cik sedang tidur atas lantai dan tiba-tiba rasa macam ada benda basah dan bila terjaga air sudah penuh di dapur

“Saya bersama suami, Mohamad Baki Awang Itam, 79 serta cucu lelaki berusia 15 tahun kemudian naik ke tingkat atas.

“Waktu kejadian itu hanya Allah sahaja tahu perasaan mak cik apabila paras air semakin meninggi dan lihat habis barang-barang rumah dihanyutkan air. Ini kejadian banjir kilat terbesar berbanding yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Hasnah berkata, dia dan suami pada mula tidak mahu ke pusat pemindahan banjir tetapi mengubah fikiran atas faktor keselamatan mereka sekeluarga.

“Mak cik sakit lutut dan tidak mampu berjalan tetapi mujur ada anggota (APM) dan penduduk kampung bantu bawa mak cik dengan menggunakan tong untuk mengharungi banjir,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Pantai Besar, Muhamad Hazani Zulaawal, berkata pelbagai agensi kerajaan turut membantu menyelamatkan mangsa banjir.

“Hujan makin berterusan dan misi bantuan masih diteruskan kepada penduduk kampung yang terbabit banjir. Kami penduduk turut mengadakan gotong-royong memasak kepada mangsa,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.