Dua Anggota TLDM Diklafikasi Mati Mengejut Setakat Ini – Polis

IPOH: Polis setakat ini mengklasifikasikan kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, pada Jumaat sebagai mati mengejut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian mereka.

Beliau berkata LK 1 PNK Nik Muhammad  Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia semasa ditahan di pusat tahanan itu.

Nik Muhammad Baihaqy ditahan di pusat berkenaan selama 45 hari mulai Rabu lepas (27 Sept) atas kesalahan tidak hadir dalam sesuatu tugas perkhidmatan yang bertentangan dengan Seksyen 58 Angkatan Tentera 1972.

“Si mati juga disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah dan kes masih dalam siasatan dan menunggu laporan kimia,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata LK I TLS Muhammad Lailatuiman pula ditahan pada Khamis lepas (28 Sept) atas kesalahan tidak hadir bertugas tanpa kelulusan cuti.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu bukan kawan atau kenalan kerana mereka bertugas di unit berlainan.

Gan berkata jenis latihan yang dijalani mereka adalah orientasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi tahanan yang dirujuk ke pusat  tersebut dan ketika mereka menjalani orientasi itu, keadaan cuaca cerah.

TLDM dalam kenyataannya pada Sabtu menyatakan Nik Muhammad Baihaqy  dan Muhammad Lailatuiman meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan pada Jumaat.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.