FELDA Kesal Lagi Laporan Tidak Tepat Dibuat

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) semalam mengeluarkan kenyataan kesal dengan laporan tidak tepat oleh sebuah portal mengenai isu kewangan yang diberikan kepada peneroka-peneroka FELDA.

Laporan tersebut telah ditulis dengan fakta yang salah dan tidak tepat selepas dikatakan menemu bual beberapa orang peneroka dan penerokawati dari Felda Mayam, Sebertak dan Tementi yang terletak dalam Gugusan Bera, Pahang.

Dalam laporan portal tersebut, ia tertulis penerokawati dari FELDA Mayam tidak menerima sebarang bantuan kewangan untuk bantuan membesarkan rumahnya.

Namun, FELDA menyatakan penerokawati tersebut telah menerima bantuan kewangan melalui Skim Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka pada April 2012.

“FELDA mendapati apa yang dilaporkan adalah tidak tepat kerana menurut rekod FELDA, penerokawati yang ditemubual dari Felda Mayam sebenarnya telah menerima Skim Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka sebanyak RM20,000 pada bulan April 2012, yang tidak dikenakan sebarang faedah kecuali kos pengurusan. Pendapatan penerokawati tersebut melebihi RM2,000 bagi bulan September 2017 dan bukan kurang dari RM1,000 seperti dilaporkan,” kata FELDA dalam satu kenyataannya kepada pemberita.

Bagi seorang peneroka dari FELDA Tementi pula, laporan tersebut mendakwa peneroka terbabit menyatakan menerima pembayaran hasil secara tidak menentu.

FELDA sekali lagi menafikan dakwaan tersebut memandangkan sistem bayaran secara mingguan telah dilaksanakan oleh organisasi sawit terbesar ini.

“Peneroka dari Felda Tementi pula yang mengatakan pembayaran dari FELDA adalah tidak menentu sebenarnya telah menerima bayaran secara mingguan. Sejak April 2017, FELDA telah memperkenalkan Dana Pusingan RM100 juta untuk tujuan pelaksanaan pembayaran hasil secara mingguan.

“Beliau juga mengatakan bahawa tidak diberikan penyata hutang apabila diminta sedangkan penyata tersebut boleh didapatkan oleh semua peneroka dari pejabat rancangan masing-masing. Penyata hutang peneroka dikeluarkan pada setiap suku tahun,” jelas FELDA.

Untuk itu, FELDA melahirkan rasa kesal atas laporan yang tidak bertanggungjawab dibuat memandangkan sebelum ini juga terdapat kesalahan laporan telah dibuat oleh portal yang sama.

FELDA menegaskan akan sentiasa bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan warga peneroka sejajar dengan usaha Perdana Menteri yang telah memberikan enam insentif buat warga peneroka.

Ia sekali gus membuktikan usaha FELDA dan kerajaan tidak pernah berhenti demi meringankan beban peneroka untuk jangka masa panjang.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.