Raja Saidatul Mardiah Ikon Sukan Permotoran

KUALA LUMPUR: Kejayaan puteri ke-13 Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Sultan Perak ke-33 sebagai wanita pertama menjuarai Pertandingan ‘Panglobal Alex Yoong F1 Driver Search’ dengan catatan masa terpantas menjadikan namanya popular dalam kalangan peminat sukan permotoran.

Kejayaan status anak keturunan diraja, Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah, pada 2005, dengan mencatatkan rekod (01:05.86 jam bagi lapan pusingan), belum dipecahkan oleh mana-mana wanita sehingga ke saat ini.

Beliau adalah satu-satunya wanita yang menyertai sukan permotoran Merdeka Millenium Endurance (MME), di Sepang pada 2009.

Raja Saidatul Mardiah, 36, juga pernah dihalang oleh penganjur daripada menyertai litar balapan sukan permotoran kerana bimbang beliau akan memberi saingan hebat pada peserta lelaki.

“Saya tidak menganggap perkara itu melunturkan semangat menyertai sukan permotoran. Malah sehingga hari ini saya masih aktif dalam sukan terbabit.

“Saya ingin membuktikan lahir sebagai anak perempuan dalam kalangan keluarga diraja bukan penghalang untuk mencabar diri dalam apa saja bidang termasuk sukan lasak,” katanya kepada BH.

Bukan hanya dunia lelaki

Menceritakan lanjut minatnya dalam sukan bukan mudah kerana kebimbangan bondanya terhadap aktiviti lasak yang diceburinya, namun selepas terbukti mencatat kejayaan demi kejayaan, beliau mendapat restu bondanya.

“Saya mahu menepis stigma masyarakat sukan permotoran hanya sesuai untuk dunia lelaki. Penyertaan saya ini sudah cukup membuktikan keupayaan wanita dalam bidang berkenaan.

“Persepsi ini menyebabkan wanita kurang mendapat galakan khususnya daripada ahli keluarga,” katanya.

30 pingat dimenangi

Dengan pembabitan aktif dan beberapa pencapaian dalam sukan lasak ini, Raja Saidatul Mardiah dinobatkan sebagai Tokoh Dang Merdu Warti yang disampaikan Pemangku Raja Pahang, pada 13 Mei lalu.

Beliau menerima anugerah itu sempena Tokoh Persilatan Srikandi Negara yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia) sebagai menghargai sumbangan beliau dalam bidang sukan dan menjadi ikon pada wanita lain.

Sejak berusia 13 tahun, beliau sudah mengumpulkan lebih 30 pingat ketika menyertai pelbagai peringkat negeri dan kebangsaan dalam beberapa acara sukan seperti taekwando dan olah raga.

RAJA Saidatul Mardiah (tiga dari kanan) selepas menerima Anugerah Dang Merdu Warti pada Malam Santapan Diraja dan Tokoh Persilatan Srikandi Negara, disempurnakan oleh Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada 13 Mei lalu. – Foto fail NSTP/Khairull Azry Bidin

Aktiviti hubungkan raja dan rakyat

Pernah mengalami kecederaan serius dalam satu pertandingan taekwando ketika remaja tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencintai dunia sukan.

“Umum menyangka lahir dalam istana mestilah tidak perlu bersusah payah membuktikan apa-apa, sedangkan realitinya masih ramai anak raja yang menyertai pelbagai aktiviti yang boleh menghubungkan antara rakyat dan raja.

“Status berketurunan raja bukan menjadi halangan untuk berinteraksi, sebaliknya kami boleh bersama mengadakan aktiviti tanpa sebarang protokol dengan rakyat jelata,” katanya yang sibuk dengan program kemasyarakatan dan sebagai pengerusi RM Harvest Resources.

Hormat institusi diraja semakin terhakis

Dalam perkembangan lain, Raja Saidatul Mardiah meluahkan kebimbangan melihat generasi hari ini yang semakin melupakan fungsi institusi diraja, malah budaya menghormati raja-raja semakin terhakis.

“Mungkin kerana tiada usaha untuk menghidupkan sejarah lampau menyebabkan warisan itu semakin pudar ditelan zaman, semangat untuk berjuang mempertahankan tanah air dan semangat penyatuan semakin hilang.

“Remaja hilang minat untuk mempelajari sejarah Melayu, asal usul raja di Tanah Melayu, kekuasaan, apa itu raja berdaulat, sumpah Melayu dan kehebatan teknologi Melayu lampau.

Beliau berkata, generasi hari ini sedar kekuasaan wanita dan kepimpinan lelaki Melayu pada tamadun lalu, mungkin mereka lebih menghargai dan bersemangat untuk meneruskan kehebatan itu di tanah air ini.

– Foto Salhani Ibrahim
– BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.