Sesat 19 Jam Daki Gunung

REMBAU: Seorang pegawai bank yang sesat ketika mendaki Gunung Gagak, berhampiran Gunung Datuk di sini, malam tadi, ditemui selamat hari ini.

Jurucakap bomba berkata, Teoh Kok Ping, 28, ditemui jam 3.01 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan lemah, namun tidak cedera.

Katanya, operasi SAR dimulakan pihaknya jam 9 malam tadi selepas mendapat panggilan kecemasan jam 8.15 malam.

Beliau berkata, operasi pagi tadi dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Perhutanan serta penduduk kampung.

“Kita menerima maklumat mangsa sesat ketika menuruni puncak gunung itu malam tadi, namun pasukan SAR tidak menemuinya disebabkan keadaan cuaca yang gelap serta hutan tebal.

“Operasi hari ini yang disertai lebih ramai membolehkan kawasan pencarian diperluaskan dan kita berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat di puncak Gunung Gagak,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki itu memulakan pendakian seorang diri pada jam 5.30 petang semalam, namun menyedari tersesat ketika dalam perjalanan turun dari puncak kira-kira tiga jam kemudian, sebelum menghubungi talian kecemasan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.