Tular Pesta Durian Di Sungai Manik Palsu

TELUK INTAN – Kecoh sejak semalam apabila ramai berkongsi keratan skrin Facebook melalui aplikasi WhatsApp mendakwa sebuah pesta makan durian akan dianjurkan di Sungai Manik pagi ini.

Maklumat yang tular berkenaan turut menyebabkan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menerima puluhan panggilan daripada rakan-rakan serta kenalan luar Daerah Hilir Perak.

Menurut Zainol Fadzi, kenyataan yang ditularkan itu ternyata tidak benar sama sekali dan beliau sendiri tidak pasti apakah niat individu atau pihak yang menularkan kenyataan palsu demikian.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bayangkan jika ada pihak yang mempercayainya lalu datang ke lokasi yang ditulis dalam kenyataan tersebut mengikut tarikh dinyatakan.

“Perkara ini juga menimbulkan kerunsingan kepada warga Dun Sungai Manik kerana mereka terpaksa menjawab perkara yang tidak benar dan membuang masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zainol Fadzi turut menasihati orang ramai agar tidak terus mempercayai sesuatu maklumat yang tular di laman atau aplikasi sosial jika terdapat sebarang unsur meragukan.

“Adalah lebih baik diabaikan sahaja mesej yang tular jika ia kelihatan meragukan atau terus menghubungi penduduk tempatan untuk pengesahan,” katanya.

Seorang penduduk Sungai Manik yang hanya ingin dikenali sebagai Alif berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada rakannya mengatakan ingin ke kampungnya itu.

“Rakan saya telefon cakap nak datang rumah sebab hari ini ada pesta makan durian di Sungai Manik dan bertanya begitu banyak durian sudah disusun seperti dalam gambar.

“Saya berasa hairan dan apabila di siasat tiada sebarang pesta durian pun dianjurkan di Sungai Manik dan ia adalah pembohongan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sejak kelmarin bahawa terdapat sebuah pesta makan buah durian khas untuk penduduk Teluk Intan pada jam 10 pagi ini.

Malah kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa pesta berkenaan akan diadakan di kawasan sawah antara Sungai Manik hingga ke Kampung Tukang Sidin.

Turut dikongsi sekeping gambar longgokan durian yang bersusun bersama kenyataan acara menyusun buah durian juga sedang sibuk dilakukan di atas tanah seluar lima ekar dan hanya untuk penduduk Perak sahaja. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.